Angkara Setan Kecil Rosak 9 Kereta Guru

Marah kerana dihukum atas kesalahan disiplin, sekumpulan pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya Selatan boleh diibaratkan ‘setan kecil’ apabila sanggup merosakkan sembilan kereta guru dengan menyimbah cat kuning dan putih, petang kelmarin. Mereka juga bertindak ganas apabila memecahkan cermin belakang sebuah kereta Perodua Myvi milik guru.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, kumpulan pelajar samseng terbabit dipercayai melakukan kerja itu selepas waktu rehat sesi petang .

Kenderaan guru terbabit diletak bersebelahan pagar berdekatan makmal dan kumpulan pelajar terbabit dipercayai menceroboh kawasan sekolah dengan memanjat pagar.

Menurut sumber, seorang pelajar tingkatan dua dikenal pasti menjadi ketua kumpulan samseng itu dan bakal berdepan tindakan tegas.

“Mereka pantas melarikan diri dengan memanjat pagar sebelum lesap ke kawasan perumahan berdekatan sekolah,” katanya yang enggan dikenali.

Katanya, pelajar terbabit mengisi cat kapur berwarna putih dan kuning ke dalam beberapa karung plastik sebelum menyembur cecair itu di kenderaan guru.

Sumber itu berkata, difahamkan seorang daripada pelajar terbabit mahu merosakkan kenderaan guru disiplin, tetapi mungkin bertukar fikiran dengan merosakkan lapan lagi kenderaan lain yang berada di tempat letak kereta itu.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan dua yang mengetuai serangan itu tersilap langkah apabila memecahkan kereta milik seorang guru wanita kerana menyangka ia milik guru disiplin yang menghukum mereka.

Menurut sumber itu lagi, polis tiba di sekolah berkenaan kira-kira jam 5 petang untuk menjalankan siasatan sebaik dimaklumkan kejadian itu.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan parkir di kawasan sekolah itu sudah diletakkan papan larangan meletak kereta dan direntang dengan tali.

Difahamkan, kejadian disedari pengawal keselamatan sekolah apabila sekumpulan pelajar lain menjerit memberitahu ada pelajar menyimbah cat dan memecahkan kenderaan guru dipercayai menggunakan batu.

Antara kenderaan yang menjadi mangsa lepas geram kumpulan pelajar itu ialah Proton Exora, Perodua Myvi dan Perodua ViVA.

Sekolah menengah terbabit juga sekolah angkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, Arjunaidi enggan mengulas lanjut berhubung serangan kumpulan pelajar samseng itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi talian 03-79662222. Difahamkan kes terbabit dilanjutkan kepada pengetahuan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Kementerian Pelajaran.

P/S : Budak2 zaman skg perangai pelik2..

2 pengomen tegar:

joegrimjow berkata...

tadi ada baca
ishh
mmg teruk budak2 skrg ni
ajar dengan rotan

zan-xray berkata...

Kasihan kereta guru.
rosak tanggung sendiri.. tapi kalau pelajar yang bermasalah selalu guru yang jadi sasaran.

Catat Ulasan



 
design by mizzapple