Sempat Hubungi Tunang Sebelum Terkorban

“Allahyarham sempat telefon memberitahu sudah sampai di simpang Mawai Batu 9 dan berhenti rehat sekejap sebelum berpesan supaya saya jaga diri baik-baik,” kata Noraliza Syed Abu Basir, 26, tunang anggota tentera yang terkorban dalam nahas ngeri dirempuh sebuah kereta mewah dinaiki Ahli Parlimen Batu, Kuala Lumpur, Tian Chua.

Kereta Mercedes Benz dipandu Ketua Penerangan PKR Bahagian Batu, Kuala Lumpur, Zaharuddin Ayob, 45, dikatakan berkonvoi bersama kereta dinaiki Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggang Mohd Salleh.

Ketika kejadian, pemimpin PKR itu dikatakan baru selesai menghadiri majlis ramah mesra dengan masyarakat Cina di sebuah restoran di Jalan Johor bertentangan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab, di sini.

Difahamkan, selepas majlis makan malam itu Anwar diiringi Tian Chua dalam kereta berasingan bergegas ke Mersing untuk menghadiri satu majlis di daerah berkenaan pada malam sama.

Sementara itu, Noraliza berkata, Mohd Salleh yang berkhidmat dengan Regimen Ke-2 Armour Diraja Kem Senggala, Port Dickson sejak 2008 dan kini mengikuti kursus di Kuantan, Pahang, menelefonnya kira-kira jam 8.30 malam dan panggilannya telefonnya tidak berjawab apabila dihubungi setengah jam kemudian.

“Saya reda menerima ketentuan Allah dan berdoa rohnya dicucuri rahmat,” katanya yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Mei 2011.


Datuk mangsa, Saim Mokhtar, 67, berkata beliau kesal kerana Anwar seolah-olah tidak pedulikan apa yang berlaku pada Mohd Salleh, sedangkan kemalangan itu membabitkan pemimpin PKR ketika dia tidak jauh dari tempat kejadian.

“Ini soal membabitkan nyawa manusia. Usahkan dia (Anwar) datang jenguk di hospital, bertanya khabar berita atau ucap takziah tanda simpati pun tiada.

“Kejadian yang menimpa keluarga saya ini... dia tahu pendokong kuat (Tian Chua) dan rakannya terbabit kemalangan, tetapi dia tetap meneruskan perjalanan ke Mersing tanpa mempedulikan apa yang berlaku ke atas mangsa.

“Apa salahnya dia berhenti, lawat mangsa atau berjumpa keluarga kami. Ini jenis orang yang pentingkan diri!” luahnya kesal kepada sekumpulan pemberita di HKT, semalam.

Sementara itu, saksi kejadian yang turut terbabit dalam kemalangan itu, Mohd Zairi Mansor, 29, berkata dia nampak dengan jelas kereta berkenaan muncul dari arah bertentangan dan terus melanggar motosikal ditunggangi Mohd Salleh.

“Kejadian terlalu pantas menyebabkan saya hilang kawalan sebelum melanggar motosikal mangsa berwarna merah yang remuk di tengah jalan raya itu,” katanya yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Megah Ria, Masai selepas selesai membuat kerja ladang sawit di Tanjung Sedili.

Ketua Polis Kota Tinggi, Superitendan Osman Mohammad Sebot, berkata polis menahan Zaharuddin mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk dirakam kenyataannya.

Jenazah Mohd Salleh dituntut keluarganya pada jam 2 pagi semalam dan dibawa pulang ke rumah Saim di Blok 21, Felda Aping Timur di sini sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam berdekatan kira-kira jam 12 tengah hari.

2 pengomen tegar:

Aidi-Safuan berkata...

innalillah. :(

zan xray berkata...

seram sejuk baca kisah macam mana berlaku kemalangan yang membawa maut.
takziah kepada keluarga mangsa.
Dalam macam ni baru nampak yang mana mementingkan diri.

Catat Ulasan




 
design by mizzapple