. Subuh .

Assalamualaikum.

Sekadar renungan, kenali tetamu anda yang bernama " Subuh ".
Ya Habiballah : Subuh

Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku, " Assalamualaikum, " seru Subuh. Wa'laikumsalam," sahutku. Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar.

Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat.

" Tadi...,"kata Subuh dengan sayu, " ... aku baru sahaja melintasi satu tempat. Ku cari tempat persinggahan, ku ketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satu pun tiada yang mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan air mata Subuh pun berlinangan.

Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.

" Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya di sebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling aku suka adalah hidangan buah TAHAJJUD, puasku cari di bumi lain, tapi jarang kujumpa. Di situ aku meratah buah TAHAJJUD dengan puas serta leka. "

Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami maksud Subuh."Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon AL-LAIL, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada roti SHIYAM, " cadangku pada Subuh. Subuh menolak dengan hormat. " Roti itu ada tuan empunyanya, " kata Subuh.

" Adakah kau mahu manisan Zikir?" rayuku pada Subuh. " Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas air mata tangisan." Pinta Subuh.

Aju agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan?

Namun, aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang memuatkan Mata Air tersebut. Aku terkejut. Perigi tersebut hampir penuh. Dan aku berdetik di dalam hati. Adakah ini petanda kemarau akan berakhir?

Tanpa berlengah lagi, ku bawa air tersebut pada Subuh, tetamu yang ku sanjungi, Dan kusuakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman. " Subuh... ," seruku,"... mahukah kau tinggal selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian, akan ku layan kau dengan sebaiknya, wahai Subuh."

Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan dipenuhi. " Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu." Dan aku akur dengan penjelasan Subuh.

" Subuh," ... seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi," ... sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?" " Insyaallah," jawab Subuh, " ... bukankah aku kekasih yang kau rindui?"

Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap " Assalamualaikum, " seru Subuh. " Wa'laikumsalam, " jawabku kembali. Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan ......

p/s : Apakah agaknya keluh kesah dari Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak?

jawapannya ...... tersirat dalam diri.
wallahua'lam.wassalam.

.sekian.

. Sekali Lagi Diuji .

Assalamualaikum.


Apa yang hendak saya sampaikan hari ini hanyalah sekadar luahan hati. Kita tidak pernah terlepas daripada mengimbau apa yang telah berlaku pada masa lalu terutamanya apabila kita putus cinta. Walaupun pahit untuk ditelan tapi itulah kebenarannya. Apabila melakukan aktiviti seharian, semua yang berlaku dapat dilupakan begitu sahaja, TAPI... ada satu ketika, hati kita pasti akan tersentak. Igauan semalam datang kembali.

Mengapa mesti perasaan ini dirasa lagi? Pedih. Hanya tangisan yang berderai di lubuk hati yang paling dalam bertopengkan wajah yang ceria diluarnya. Kaki melangkah untuk melakukan rutin harian setiap hari, cuba untuk tidak mempedulikan apa yang dirasa namun fikiran tidak dapat berhenti mengganggu. Igauan semalam, sejarah silam tidak mahu diingat lagi tapi semalam, apa yang berlaku betul-betul membuatkan perasaan ini merasai lagi apa yang pernah dirasai dulu.

Ku renung sejenak, cuba meredakan hati sambil melihat ke luar jendela. Ya, muhasabah diri, itulah yang harus dilakukan. Hati sebak, hati sedih, hati pilu mengenangkan masa lalu.

.Duhai hati.

Bila kamu putus cinta, pandanglah ke hadapan. Masih ramai manusia yang mencintai kamu. Malah, Allah S.W.T. tidak pernah putus cinta-Nya kepada kamu. Kenapa bila kamu putus cinta
dengan seorang manusia, kamu hendak memutuskan cinta segala-galanya?

.Hatiku.

Jika yang lalu datang kembali, jika yang lalu cuba menyingkap tirai lama yang telah lama ditutup, maka biarkanlah sahaja. Sememangnya kita tidak dapat lari dari perasaan ini tapi biarkan sahaja. Kita bukan yang dahulu lagi, yang tersesat dalam dunia penuh kegelapan. Kita telah tinggalkan jalan itu, menyedari hakikat yang sebenar berteraskan hidayah Allah S.W.T. Alhamdulillah dan moga ia berkekalan. Berdoalah kepada-Nya agar perasaan ini reda dari mengingati masa lalu.

Ya Allah, kuatkanlah hati ini Ya Allah, hanya kepada-Mu sahaja aku sandarkan cinta ini Ya Allah. Sesungguhnya Cinta Allah Cinta Abadi.
Amin.

.sekian.



 
design by mizzapple