. Tazkirah Ringkas Kenali Aidilfitri .

Assalammualaikum..


SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.

Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri. Nabi saw memberitahu mereka, "Sesungguhnya Allah swt telah mengurniakan 2 hari yang mempunyai kebaikan di dalamnya, iaitu hari Eidul-Fitr dan hari Eidul-Adha." Riwayat Abu Daud, 1134

Sabda Nabi saw kepada Abu Bakar r.a., "Setiap kaum ada perayaan, dan ini adalah perayaan kita" (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis ini merujuk kepada 2 perayaan Eid yang khusus bagi orang Islam.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, iaitu jika dilakukan akan terbatal puasanya. Lantaran itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal`Aidul Fitri berasal dari perkataan`aid adalah diambil dari kata al-`audu (kembali). Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat.

Akhir sekali Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin :).

.sekian.

. Salam Ramadhan .

Assalammualaikum..


Syukur Alhamdulillah kita masih diberi peluang bagi menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1434H ini. Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik buat diri kita. Diharapkan kita mampu untuk berubah kepada lebih baik dan kekal sehingga Ramadhan berikutnya.

Sempena menyambut Ramadhan ini, sama-samalah kita membersihkan diri kita daripada dosa agar Ramadhan kali ini menjadi satu titik perubahan dalam diri kita untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Sama-samalah kita berdoa :

Bismillahirahmanirrahim..

Ya Allah Ya Tuhan kami
Ampunkanlah segala dosa-dosa kami Ya Allah
Ampunkan dosa Ibu Bapa kami Ya Allah
Ampunkan dosa Suami Isteri kami Ya Allah
Ampunkan dosa Anak-anak kami Ya Allah
Ampunkan dosa ahli keluarga kami Ya Allah
Ampunkan dosa muslimin dan muslimat saudara kami Ya Allah.

Panjangkan umur kami dengan berbuat amal ibadat kepadaMu Ya Allah
Hindarilah diri kami dari melakukan dosa-dosa kepadaMu Ya Allah
Engkau teguhkanlah iman kami Ya Allah
Matikanlah diri kami dalam keadaan beriman kepadaMu Ya Allah
Murahkan rezeki kami dengan rezeki yang halal Ya Allah.


Amin Ya Rabbal Alamin..

.sekian.

. Sejahtera Yang Melata .

Assalammualaikum..

Apa habaq sahabat-sahabat bloggerku sekalian, rasanya sudah hampir setahun saya tak bermonoloq disini. Rasa rindu pulak pada anda semua. Kali ini saya ingin bercerita tentang "al-salam". Sedarkah kita perkataan al-salam sebenarnya sering kita ungkapkan ketika bertemu dan mengucap salam serta dalam solat lima waktu yang kita tunaikan? Nama Allah ini sudah biasa kita lafazkan .Mari kita sama-sama hayati.


Allah berfirman yang bermaksud : " Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia yang menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Selamat Sejahtera daripada segala kekurangan". (surah al-hashr-59:23)

Mari kita berkenalan dengan nama Allah yang indah ini iaitu al-salam.
  • Membawa erti keamanan, ketenangan dan kesejahteraan.
  • Allah selamat daripada sebarang kekurangan dan keaiban yang boleh mencacatkan kebesaran dan keagungannya-Nya.
  • Merupakan suatu pujian Agung kepada Allah yang memberikan keselamatan dan kesejahteraan yang melata di dunia dan akhirat. 
Cuba kita renung diri kita yang begitu istimewa penciptanya. Hakikatnya kehebatan al-salam Allah terkandung dalam binaan diri seorang manusia. Allah menciptakan tubuh badan kita selamat dan sejahtera dalam beberapa keadaan antaranya :
  • Badan kita bergerak ke kiri ke kanan ketika tidur kerana saluran darah yang ditindih oleh berat badan akan tersekat. Allah yang melimpahkan kesejahteraannya kepada kita memberi keistimewaan kepada otak bahawa keadaan badan akan beralih sendiri untuk memastikan pengaliran darah berjalan lancar.
  • Ketika kita tidur, air liur akan banyak terkumpul didalam mulut. Maha suci Allah yang memiliki sifat al-salam memberikan keselesaan kepada kita ketika tidak sedarkan diri melalui proses masuknya air liur ke dalam salur perut secara automatik.
  • Seluruh badan tidak bergerak ketika tidur, namun jantung tetap berfungsi menjalankan aktivitinya.
Siapakah yang memberikan keselamatan ketika kita tidak sedar? Sudah tentu Allah Yang Maha memberi kesejahteraan dan keamanan. Ayuh kita sama-sama syukuri dengan nikmat al-salam yang maha hebat ini.

.sekian.




 
design by mizzapple